Pada suatu masa, ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang tawaf di Kaabah,
baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf sambil berzikir: “Ya
Karim! Ya Karim!”. Rasulullah s.a.w meniru zikirnya “Ya Karim! Ya
Karim!”. Orang itu berhenti di satu sudut Kaabah dan menyebutnya lagi
“Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah yang berada di belakangnya menyebutnya
lagi “Ya Karim! Ya Karim!”.
Orang itu merasa dirinya di perolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang
dan di lihatnya seorang lelaki yang sangat tampan dan gagah yang belum
pernah dilihatnya. Orang itu berkata “Wahai orang tampan, apakah engkau
sengaja mengejek-ngejekkanku, kerana aku ini orang badwi?.Kalaulah
bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan ku laporkan kepada
kekasihku, Muhammad Rasulullah”.
Mendengan kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w tersenyum lalu
berkata: “Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?”.
“Belum” jawab orang itu.
“Jadi bagaimana kamu beriman kepadanya?”
“Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum
pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya walaupun saya belum
pernah bertemu dengannya” jawab orang Arab badwi itu.
Rasulullah s.a.w pun berkata kepadanya: “Wahai orang Arab, ketahuilah
aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat”
Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, “Tuan ini Nabi Muhammad”
“Ya” jawab Nabi s.a.w.
Dengan segera orang itu tunduk dan mencium kedua-dua kaki Rasulullah
s.a.w. Melihat hal itu Rasulullah s.a.w menarik tubuh orang Arab badwi
itu seraya berkata “Wahai orang Arab, janganlah berbuat seperti itu.
Perbuatan seperti itu biasanya di lakukan oleh seorang hamba sahaya
kepada tuannya. Ketahuilah, Allah mengutuskanku bukan untuk menjadi
seorang yang takabbur yang minta di hormati atau diagungkan, tetapi demi
membawa berita gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita
menakutkan bagi yang mengingkarinya”.
Ketika itulah turun Malaikat Jibril a.s untuk membawa berita dari
langit, dia berkata “Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam
kepadamu dan berfirman: Katakan kepada orang Arab itu, agar tidak
terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan
menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik
yang kecil maupun yang besar”.
Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Orang Arab
itu pula berkata “Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan
membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat
perhitungan denganNya”. Orang Arab badwi berkata lagi “Jika Tuhan akan
memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa
kebesaran maqhfirahNya, Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka
hamba akan memperhitungkan betapa luasnya pengampunanNya. Jika Dia
memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula
betapa kedermawanNya”.
Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w pun
menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu
sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya. Lantaran itu Malaikat
Jibril turun lagi seraya berkata:
“Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan
berfirman: Berhentilah engkau dari menangis, sesungguhnya kerana
tangismu , penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga
ia bergoncang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak
akan menghisab dirinya, juga tidak akan menperhitungkan kemaksiatannya.
Allah sudah mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di
syurga nanti”
Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengan berita
tersebut. Ia menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya.
No comments:
Post a Comment